Terapi Carakerja (Occupational Therapy)
Perkhidmatan Terapi Carakerja merupakan salah satu rawatan pemulihan yang komprehensif dan holistik bertujuan untuk membantu klien mencapai, meningkatkan serta mengekalkan tahap kefungsian dan keberdikarian yang optima dalam kehidupan seharian, pekerjaan serta aktiviti riadah/rekreasi. Perkhidmatan Terapi Carakerja memfokuskan kepada keupayaan fizikal, mental, sosial dan kerohanian. Jurupulih Carakerja sentiasa berkomunikasi dengan klien untuk memberikan perkhidmatan yang sejajar dengan keperluan mereka.
Perkhidmatan Terapi Carakerja Yang Disediakan

Di Pusat Rehabilitasi PERKESO, tahap kefungsian dalam hidupan seharian setiap klien akan dinilai secara komprehensif. Mengikut kepada tahap kefungsian yang berlainan, pelbagai kemahiran yang meliputi aktiviti kehidupan seharian dan aktiviti domestik seperti kebersihan diri, cucian pakaian (dobi), asas pengurusan kewangan dan penjagaan diri akan diterapkan dalam program Terapi Carakerja setiap klien mengikut keperluan masing-masing. Peranan utama program rehabilitasi ini adalah untuk memastikan klien mendapat kemahiran asas dalam pengurusan diri sendiri dan seterusnya dapat menjalani rutin harian secara normal.
Pelbagai peralatan rehabilitasi berteknologi tinggi seperti Armeo Spring, Bioness H200, Hand of Hope, FitMi, Music Glove dan modaliti-modaliti lain turut digunakan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan Terapi Carakerja.

Jurupulih Carakerja turut membuat penilaian kognitif secara komprehensif serta mengendalikan program rawatan rehabilitasi kognitif yang dikhususkan mengikut permasalahan setiap individu, terutamanya golongan yang mengalami kecederaan atau penyakit yang menjejaskan kefungsian kognitif otak seperti masalah memori, tumpuan, orientasi, pengiraan, diskriminasi bentuk, diskriminasi warna, kebolehan mengikut arahan, kebolehan membuat keputusan, kefungsian eksekutif dan sebagainya.
Rehabilitasi Kognitif turut menggunakan sistem penilaian standard yang bertaraf dunia seperti Vienna Test System (VTS), CogniPlus, Chessington Occupational Therapy Neurological Assessment Battery (COTNAB), Loewenstein Occupational Therapy Cognitive Assessment (LOTCA), Rivermead Perceptual Assessment Battery, dan Becker Work Adjustment Profile bagi memastikan ketepatan dan keberkesanan program rawatan berkenaan.
Program Rehabilitasi Memandu dan Membonceng Motosikal melibatkan penilaian pra-pemanduan yang diberikan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) seperti klien yang mengalami strok, kelumpuhan serta amputasi. Penilaian Pra-Memandu dan Membonceng Motosikal akan dibuat mengikut kesesuaian dan persediaan klien dari segi fizikal, kognitif dan kefungsian psikososial untuk memandu dan membonceng. Driving Simulator (STISIM Drive) dan kenderaan yang telah dimodifikasi akan digunakan semasa latihan rehabilitasi memandu. Pegawai Terapi Carakerja juga akan membuat pengesyoran modifikasi kereta atau motosikal mengikut kesesuaian dan keselamatan klien.

Rehabilitasi Kerja merupakan proses rehabilitasi terakhir yang bakal dialami oleh para klien sebelum kembali bekerja. Program rehabilitasi kerja meliputi Work Hardening & Industrial Rehabilitation di mana klien akan didedahkan dengan pelbagai situasi pekerjaan sebenar atau simulasi aktiviti kerja yang bertujuan untuk memulihkan fungsi fizikal, tingkah laku dan kemahiran vokasional sebagai persediaan untuk kembali bekerja.
Program Work Hardening & Industrial Rehabilitation berperanan untuk memastikan klien menjadi lebih berdaya saing di samping meningkatkan tahap produktiviti, keselamatan dan keupayaan fizikal.
Penilaian tahap kefungsian untuk kembali bekerja (Return To Work), iaitu Functional Capacity Evaluation (FCE) turut akan dilakukan dengan menggunakan sistem peralatan berteknologi moden yang dapat memberikan data penilaian objektif seperti BTE Primus, BTE Evaltech, Valpar Joule, Valpar T/PAL, Biodex Isokinetic dan JTECH. Laporan FCE akan menentukan kesesuaian klien untuk kembali ke pekerjaan asal atau beliau memerlukan modifikasi skop kerja.
Selain itu, penilaian persekitaran tempat kerja (Work Site Assessment) juga dilakukan untuk memastikan keselamatan klien serta adaptasi atau pengubahsuaian tempat kerja yang diperlukan.
Bidang Terapi Carakerja juga melibatkan penilaian dan preskripsi keperluan peralatan bantuan dan adaptasi mengikut tahap kefungsian klien. Ini termasuklah keperluan kerusi roda, commode chair, crutches, katil hospital, adaptasi peralatan makan atau mandian dan sebagainya bagi meningkatkan tahap kefungsian dan penyertaan klien dalam menjalani aktiviti seharian masing-masing.
Selain itu, Jurupulih Carakerja juga membuat penilaian dan cadangan pengubahsuaian rumah atau workstation bagi memastikan klien dapat menjalani aktiviti kehidupan seharian atau aktiviti kerja dengan selamat.

Kebun Terapeutik dan Terapi Akuaponik adalah sebahagian daripada Aktiviti Kehidupan Seharian (ADL) yang bertujuan meningkatkan interaksi sosial dan memberi peluang kepada klien kami membuat aktiviti yang berkaitan dengan alam semula jadi dan pembelajaran skil baharu.
Kebun Terapeutik direka khas agar ianya sesuai untuk semua. Aktiviti di sini berupaya untuk membantu klien meningkatkan skil motor halus, meningkatkan tumpuan, stamina, koordinasi mata-tangan, dan tahap kawalan serta keberdikarian tidak kira apa jenis penyakit atau kecederaan yang dialami oleh seseorang individu. Antara aktiviti yang dijalankan di Kebun Terapeutik adalah pembelajaran tentang teknik Sistem Akuaponik dan teknik berkebun yang merangkumi cara pembiakan tanaman, proses tanaman menggunakan bekas dan penanaman herba.
Cognitive Remediation Therapy (CRT) adalah sesi terapi yang efektif dan direka khas untuk mengurangkan permasalahan kognitif dan menambahbaik fungsi psikososial seseorang individu yang mengalami permasalahan berkaitan tumpuan, memori dan kefungsian yang utama. Kami membentuk latihan kognitif melalui sistem komputer dan menawarkan teknik spesifik seperti integrasi CRT yang disertakan dengan latihan skil yang bertujuan untuk meningkatkan motivasi dan keupayaan untuk belajar semasa sesi CRT. Melalui Cognitive Remediation Therapy (CRT), klien berpeluang untuk memperoleh impak positif dalam meningkatkan skil dan tahap kefungsian yang memberikan kesan dalam kehidupan seharian.
Perkhidmatan Kami
Waktu Operasi
-
9am - 5pm (Isnin-Jumaat)
9am - 1pm (Sabtu)
Wad & Asrama (24 Jam)