Fisioterapi (Physiotherapy)
Fisioterapi merupakan rawatan rehabilitasi yang berteraskan prinsip intervensi kinesiologi, preskripsi senaman, mobilisasi dan modaliti rawatan berunsur fizikal serta elektrikal. Rawatan fisioterapi ini dapat mengatasi masalah kesakitan fizikal atau limitasi pergerakan dan kefungsian tubuh badan akibat kecederaan atau penyakit yang melibatkan sistem muskuloskeletal, neurologikal, kardiovaskular, respiratori atau endokrinologikal.
Kemudahan dan Peralatan
Bagi memberikan perkhidmatan fisioterapi yang terbaik, Pusat Rehabilitasi PERKESO menyediakan peralatan fisioterapi yang berteknologi tinggi seperti berikut:
| Armeo Spring | Peralatan robotik bagi menambahbaik fungsi tangan. |
| Lokomat Pro | Peralatan robotik bagi menambahbaik fungsi kaki. |
| Erigo | Peralatan robotik bagi membantu mobilisasi peringkat awal dan digunakan untuk latihan berdiri bagi pesakit yang tidak boleh berdiri. |
| Biodex-Isokinetic & Mule | Digunakan untuk menganalisa dan menguatkan fungsi otot dan fizikal sebelum pesakit ditempatkan sepenuhnya bagi penilaian pra-pekerjaan. |
| Vicon & HP Cosmos | Digunakan bagi menganalisa pergerakan pesakit semasa berjalan. |
| Huber 360 | Merupakan Multiaxis Motorized Platform yang digunakan bagi membuat penilaian dan rawatan di dalam NeuroMuscular Rehabilitation. |
| Andago | Alatan robotik yg memberi sokongan yang dinamik kepada klien ketika menjalani latihan berjalan. Alatan ini boleh dilaras ketinggian dan peratusan sokongannya terhadap berat badan mengikut kesesuaian klien. |
Perkhidmatan Fisioterapi Yang Disediakan
Rehabilitasi Neurologi melibatkan proses yang aktif dan dinamik untuk membantu klien yang mengalami masalah neurologikal seperti Stroke, Traumatic Brain Injury, dan Neurodegenerative Diseases untuk memaksimumkan tahap kefungsian fizikal mereka.
Antara rawatan fisioterapi yang diberikan melibatkan:
- Kawalan motor dan kekuatan otot
- Kawalan motor halus
- Imbangan dan koordinasi
- Daya tahan otot dan kardiovaskular
- Fleksibiliti dan pergerakan sendi
- Strategi pergerakan
Rehabilitasi Muskuloskeletal adalah satu set rawatan bagi memulihkan kekuatan dan keupayaan sistem muskuloskeletal seperti otot dan sendi. Rawatan ini khas untuk klien yang mengalami masalah kesakitan fizikal atau limitasi pergerakan pada anggota tangan, anggota kaki atau tubuh badan akibat kemalangan, trauma atau penyakit seperti kepatahan tulang, kecederaan urat, ligamen atau saraf dan masalah kesakitan kronik seperti kesakitan tulang belakang.
Rehabilitasi MSD ini memfokuskan kepada:
- Mengurangkan kesakitan
- Fleksibiliti dan julat pergerakan sendi
- Kekuatan dan ketahanan otot
- Propriosepsi dan koordinasi
- Keseimbangan badan
- Mobiliti dan gait
Rawatan dan pemulihan kecederaan saraf tunjang / Spinal Cord Injury (SCI) memberi tumpuan rehabilitasi kepada para klien yang mengalami masalah kelumpuhan sama ada paraplegia (kelumpuhan kedua-dua kaki) atau tetraplegia (kelumpuhan kedua-dua belah anggota tangan dan kaki) secara fizikal dan psikologi. Matlamat utama rehabilitasi ini adalah supaya klien dapat memaksimumkan pemulihan saraf dan tahap keberdikarian mereka sepanjang tempoh rehabilitasi.
Tujuan rehabilitasi SCI adalah untuk:
- Meningkatkan jisim otot
- Meningkatkan aktiviti otot
- Meningkatkan peredaran darah
- Meningkatkan sensasi (sensation)
- Mencegah penurunan kepadatan mineral tulang
- Meningkatkan tahap kefungsian dan keberdikarian dalam melakukan aktiviti kehidupan harian dan pekerjaan
- Mengurangkan komplikasi seperti pressure sore, kekerasan sendi, deformity atau jangkitan kuman pada sistem urinari yang berkaitan dengan kecederaan saraf tunjang
- Meningkatkan kualiti hidup
Hidroterapi adalah satu bidang fisioterapi yang menggunakan air sebagai medium rawatan. Suhu air yang ditetapkan adalah antara 33-36 darjah Celsius yang menjadikannya suam berbanding air di kolam biasa. Tujuannya adalah untuk memastikan saluran darah dan kalenjar peluh kembali aktif, seterusnya memudahkan proses penyembuhan, mengurangkan sakit dan mengeluarkan sisa dari tubuh badan. Dengan menggunakan sifat fizikal air yang mempunyai daya apungan, ianya mampu untuk mengurangkan bebanan berat badan pada anggota kaki dan meningkatkan relaksasi otot. Klien akan lebih mudah melakukan senaman bagi meningkatkan julat pergerakan sendi. Selain itu, air juga mempunyai daya rintangan yang boleh digunakan untuk meningkatkan koordinasi dan keseimbangan, menguatkan otot, serta daya kecergasan.
Gimnasium dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan senaman. Rawatan yang diberikan adalah berdasarkan kepada keperluan setiap individu. Antara matlamat rawatan adalah untuk memastikan setiap klien mencapai tahap kefungsian fizikal yang maksimum. Senaman yang diberikan adalah memfokuskan kepada senaman menyeluruh menggunakan ‘body mechanics’ dan ‘kinesiology’ bagi meningkatkan stamina, agiliti, kecergasan dan fleksibiliti anggota badan.
Kehilangan anggota kaki dan tangan menyebabkan hilang upaya kekal yang memberi impak kepada imej, penjagaan diri dan mobiliti seseorang klien. Rawatan rehabilitasi klien yang mengalami amputasi bermula selepas pembedahan iaitu semasa berada dalam fasa rawatan akut. Sebaik kondisi pesakit bertambah baik, program rehabilitasi lanjutan akan diberikan kepada klien.
Program adalah seperti berikut :
- Rehabilitasi Pasca-Pembedahan Akut
- Rehabilitasi Pra-Prostetik
- Preskripsi Prostetik
- Latihan Prostetik
- Latihan Integrasi Dalam Komuniti
- Rehabilitasi Vokasional
Perkhidmatan Kami
Waktu Operasi
-
9am - 5pm (Isnin-Jumaat)
9am - 1pm (Sabtu)
Wad & Asrama (24 Jam)