Terapi Sensori

1.OPTOMETRI
OPTOMETRI

Perkhidmatan optometri disediakan oleh Pegawai Optometri yang bertauliah untuk semua klien di Pusat Rehabilitasi PERKESO. Antara perkhidmatan yang ditawarkan ialah Perkhidmatan Saringan Kualiti Penglihatan, Pemeriksaan Optometri Primer, Pemeriksaan Mengenal Pasti Ralat Refraksi, Pengurusan Masalah Penglihatan Terhad, Masalah Juling dan Terapi Penglihatan beserta Neuro-Optometri dan Rehabilitasi Penglihatan.

Selain itu, dengan kerjasama dari beberapa jabatan, Jabatan Optometri juga menawarkan Program Rehabilitasi Penglihatan untuk pelanggan yang mempunyai masalah penglihatan terhad dan buta. Program ini merangkumi Latihan Orientasi & Mobiliti, Latihan Penggunaan Teknologi seperti komputer dan telefon pintar serta latihan vokasional yang berkaitan.

AUDIOLOGI

Pegawai Audiologi kami bertanggungjawab dalam mengendalikan klien yang mengalami masalah pendengaran, Tinnitus dan keseimbangan melalui beberapa proses seperti Penilaian Audiologi. Diagnosis dan Program Rehabilitasi yang bersesuaian.

Peralatan Rehabilitasi atau Alatan Pendengaran yang bersesuaian akan dibekalkan kepada klien dengan mengambil kira tahap dan jenis masalah pendengaran yang dialami di samping menitikberatkan keperluan pekerjaan klien.

Jabatan Terapi Pertuturan menawarkan khidmat untuk mencegah, menilai, mendiagnosis dan membantu pemulihan pertuturan, bahasa, komunikasi sosial, komunikasi kognitif dan penelanan untuk orang dewasa.

Individu dengan masalah berkaitan pertuturan, bahasa dan komunikasi akan melalui pemulihan dalam sesi individu dan berkumpulan. Terdapat juga sesi latihan untuk penjaga dan juga perkongsian maklumat dan pendidikan kepada orang awam.

Individu dengan masalah penelanan akan dinilai secara objektif dan subjektif untuk memastikan penilaian yang tepat supaya pemulihan dibuat dengan efisien.

Pegawai Terapi Pertuturan kami akan memastikan pemulihan adalah bersesuaian dengan matlamat yang rasional dan sejajar dengan ketidakbolehupayaan individu. Pendekatan multidisiplin juga digunakan untuk mengoptimumkan perkhidmatan yang dapat diberikan serta untuk memastikan pemulihan adalah secara menyeluruh untuk membolehkan individu kembali kepada komuniti.

Menawarkan aktiviti terapi kognitif dan tingkah laku secara berstruktur kepada pesakit. Setiap proses terapi akan dijalankan oleh Pegawai Psikologi Klinikal yang profesional dan bertujuan untuk menggalakkan Integrasi Sosial dan menambah baik tingkah laku pesakit.

Pegawai Psikologi Klinikal akan memastikan persediaan minda pesakit tertumpu kepada fokus untuk menambahbaik kehidupan dan kembali bekerja. Persediaan tersebut merangkumi pendedahan kepada kemahiran sosial, cara menangani tekanan dan pelbagai modul yang berkaitan dengan faktor psikologi seseorang pesakit.

DIETETIK

Jabatan Dietetik akan memberikan pelbagai konsultasi diet yang berkaitan dengan penyakit-penyakit tertentu seperti kawalan kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, gout, dan sebagainya. Di samping itu, Pegawai Dietetik turut menawarkan khidmat nasihat pemakanan untuk membantu golongan yang perlu menurunkan berat badan dengan cara yang betul, selamat dan efektif.

Bagi mereka yang hilang keupayaan untuk makan dan minum secara normal, Pegawai Dietetik akan berkolaborasi dengan pasukan perubatan yang lain untuk memastikan mereka memperoleh nutrisi yang cukup bagi memenuhi keperluan diet seharian.