Rawatan Neuro-Robotik & Cybernics

Rawatan Neuro-Robotik & Cybernics

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kolaborasi bersama Cyberdyne Inc. Japan telah menubuhkan Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics Centre (Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotics & Cybernics) yang pertama di Malaysia di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Melaka. Pusat ini dilengkapi dengan Robot Suit HAL® (Hybrid Assistive Limb), teknologi neurorobotik terkini dari Cyberdyne Inc. Jepun.

HAL® Robot Suit ini merupakan robot jenis cyborg pertama di dunia yang direkacipta oleh Prof. Dr. Yoshiyuki Sankai, Ketua Pegawai Eksekutif Cyberdyne Inc. bagi membantu seseorang yang mengalami masalah kelumpuhan atau kelemahan anggota kaki akibat daripada kecederaan saraf tunjang atau otak seperti strok, kecederaan otak traumatik, sklerosis berbilang, penyakit neurodegeneratif dan sebagainya, untuk berjalan semula. Robot suit ini berupaya memulihkan, menyokong dan meningkatkan tahap kefungsian mobiliti anggota kaki pesakit apabila dipakai. HAL® Robot Suit ini befungsi berdasarkan teknologi cybernics yang menggabungkan interaksi antara manusia, robot dan informasi.

Dalam tubuh yang sihat, setiap otot dapat menerima isyarat yang ditafsirkan daripada otak ke arahnya dan bergerak dengan kuat dan pantas seperti yang ditetapkan. Namun, kecederaan pada sistem saraf (otak dan saraf tunjang) akan menyebabkan isyarat dan arahan daripada otak tidak dapat disampaikan secara efektif kepada otot-otot bagi menghasilkan pergerakan motor untuk berjalan. Dalam keadaan ini, isyarat yang dihantar kepada otot tersebar pada permukaan kulit sebagai isyarat yang sangat lemah, yang dipanggil sebagai "isyarat bio-elektrik (BES)”. Cyberdyne HAL® Robot Suit dapat mengesan isyarat bio-elektrik yang lemah ini melalui pemasangan elektrod pada permukaan otot-otot kaki lalu menganalisa isyarat berkenaan melalui sistem kawalan pada robot suit. Oleh itu, walaupun otot kaki tidak dapat membalas isyarat daripada otak yang mengarahkannya untuk berjalan, robot suit ini dapat mempercepatkan proses pembelajaran untuk berjalan semula melalui kerjasama antara otak dengan otot.

Malaysia merupakan negara keempat di dunia dan yang pertama di rantau ASEAN yang menawarkan perkhidmatan rawatan Cyberdyne HAL ini kepada pesakit. Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics Centre ini merupakan pusat rawatan cybernics terbesar di luar Jepun yang dilengkapi dengan 24 unit HAL® Robot Suits.

Program rehabilitasi Cyberdyne HAL® ini melibatkan sesi terapi antara 60 hingga 90 minit sehari untuk tempoh 3 hingga 5 hari seminggu selama 12 minggu, bergantung kepada keadaan dan masalah setiap pesakit.

Terdapat tiga jenis perkhidmatan rawatan rehabilitasi Cyberdyne HAL® yang disediakan di Pusat ini, iaitu HAL® Lower Limb Type, HAL® Single Joint Type dan HAL® Lumbar Type. HAL® Lower Limb Type merupakan robot suit yang membantu individu yang lumpuh untuk memperolehi semula keupayaan untuk berjalan, manakala HAL® Single Joint Type digunakan untuk menguatkan otot kaki dan tangan. Sementara itu, HAL® Lumbar Type digunakan untuk menguatkan otot tulang belakang dan meningkatkan keupayaan untuk melakukan aktiviti-aktiviti jenis industri seperti mengangkat bebanan.

Dengan adanya teknologi Cyberdyne HAL® Robot Suit ini, ia dapat memberi impak yang lebih signifikan dalam proses pemulihan pesakit dan membolehkan mereka untuk kembali bekerja awal. Ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pekerja tersebut dan keluarga mereka, malahan dapat menyumbang kepada ekonomi negara.